
Article
Kpn Bersama Barisan Kepimpinan Pdrm Sertai Mappa Xx Di Putrajaya
Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang tadi menyertai Majlis Amanat...
Putrajaya, 15 Ogos 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang tadi menyertai Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 (MAPPA XX) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Dalam program tersebut, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid bersama para penjawat awam telah menyaksikan amanat yang disampaikan oleh Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menekankan hala tuju kecemerlangan perkhidmatan awam selari dengan nilai MADANI serta keutamaan penyampaian perkhidmatan rakyat.
Dalam majlis sama, turut berlangsung Pelancaran Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang akan dijadikan panduan semua ketua jabatan dan agensi dalam membangunkan bakat organisasi masing-masing.
Seiring penganjuran, sebanyak 43 reruai melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan turut dibuka kepada orang ramai.
Turut menjadi tumpuan ialah reruai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik yang menawarkan pengurangan saman terpilih sebanyak 30 peratus.
Hadir sama, Timbalan PM I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan PM II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Sri Hj. Fadhilah Hj. Yusof, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz dan Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery