
Artikel
Kpn Adakan Lawatan Kerja Sulung Ke Sekretariat Aseanapol
Kuala Lumpur, 16 Februari 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani merangkap Pengerusi Tetap Sekretariat ASEANAPOL, mengadakan...
Kuala Lumpur, 16 Februari 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani merangkap Pengerusi Tetap Sekretariat ASEANAPOL, mengadakan lawatan kerja sulungnya ke Pejabat Sekretariat ASEANAPOL, di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini petang tadi.
Ketibaan beliau yang diiringi Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran), SAC Tuan Kamaruzaman Abdullah telah disambut oleh Pengarah Eksekutif Sekretariat ASEANAPOL, Deputy Assistant Commisioner Jim Wee.
Lawatan kerja tersebut antara lainnya bertujuan meninjau peranan dan gerak kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengukuhkan hubungan kerjasama di antara pasukan polis negara ASEAN, selain mencambahkan perkongsian idea, latihan dan kursus bagi meningkatkan kepakaran warga Pasukan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
KPN dalam ucapannya turut menzahirkan keyakinan terhadap pencapaian ASEANAPOL sepanjang 10 tahun penubuhan, yang dilihat berada di landasan yang tepat seiring perkembangan dunia kepolisan serantau.
Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Polis, Sekretariat ASEANAPOL, Senior Superintendent Jony Getamala, S.H, Pengarah Perancangan dan Program, Sekretariat ASEANAPOL, Superintendan Tang Yik Tung, dan Ketua Pentadbiran dan Staf Teknikal, Sekretariat ASEANAPOL, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffei.
Jurugambar: Koperal Muhamad Rafsamjani Shamsul Bahar.


\



\