
Article
Kerjasama Strategik Di Antara Pdrm Dan Ukm Dalam Memerangi Dadah Dan Nps
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Aktiviti Pendidika...
Bangi, 26 Mac 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bilangan 1 bagi tahun 2025 di Fakulti Pengajian Islam, UKM, di sini, pagi tadi.
Ketibaan Dato’ Sri Ayob Khan sekitar jam 8.30 pagi tadi telah disambut oleh Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, SAC Mohd Zaki Ashar bersama Ketua Penolong Pengarah Narkotik Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) JSJN Bukit Aman, ACP Hj. Ahmad Azwan Amin Nordin.
Antara inti pati mesyuarat yang diadakan adalah membincangkan kolaborasi di antara PDRM dan UKM yang lebih inovatif dan strategik dalam membangunkan teknologi dan penyelidikan bertaraf antarabangsa untuk memerangi dadah serta bahan terlarang seperti Bahan Psikoaktif Baru (NPS) secara lebih komprehensif.
Dato’ Sri Ayob Khan dalam ucapannya berkata, hasil kerjasama tersebut telah memberi impak yang besar, terutamanya dalam memperkukuh keupayaan PDRM memerangi jenayah dadah.
“Saya percaya program ini boleh menjadi model terbaik dalam memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini. Saya juga berharap kerjasama ini tidak terhad kepada penyelidikan dan latihan sahaja, sebaliknya turut melibatkan pembangunan kapasiti yang lebih berterusan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Dato’ Sri Ayob Khan telah dibawa melawat ke Makmal CSI I, Fakulti Sains Kesihatan bagi menyaksikan demonstrasi penggunaan alat TIMS-TOF Pro 2 dan DART, iaitu alatan terbaharu berpiawaian 4D-Multiomik berkelajuan dan bersensitiviti tinggi yang digunakan untuk mengesan bahan atau dadah daripada sampel urin dan air pembentungan. Beliau kemudiannya telah mendengar taklimat operasi makmal dadah NPS yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof. Madya Dr. Khairul Osman.
Dalam lawatan yang diadakan juga, Dato’ Sri Ayob Khan turut diberi penghormatan untuk menyempurnakan perasmian alatan TIMS-TOF Pro 2 yang bakal digunakan oleh PDRM dengan kerjasama UKM.
Dato’ Sri Ayob Khan bersama delegasi tidak ketinggalan mengadakan lawatan ke Pusat Data UKM, Pusat Teknologi maklumat yang akan digunakan dalam projek kerjasama berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), UKM, Prof. Dato’ Wan Kamal Mujani, Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemandu, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Kassim, barisan pegawai kanan PDRM dan UKM serta rakan-rakan media.
Jurugambar: PDRM RMP TV