
Artikel
Kerjasama Pdrm Kpm Wujudkan Persekitaran Sekolah Selamat
Bentong, 4 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengalu-alukan kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kement...
Bentong, 4 September 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain mengalu-alukan kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mewujudkan persekitaran sekolah selamat yang dizahirkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan PDRM dan KPM.
Antara intipati utama yang dikupas melalui mesyuarat tersebut adalah mengenai cara mengatasi masalah disiplin para pelajar sekolah yang disifatkan semakin membimbangkan sehingga terjerumus ke dalam kancah jenayah pada usia muda.
Tan Sri Razarudin dalam ucapannya menggesa semua Pegawai Perhubungan Sekolah untuk lebih peka dan cakna terhadap trend jenayah semasa yang mengancam kesejahteraan golongan pelajar ekoran pengaruh negatif media sosial yang semakin meruncing.
"PDRM amat mengharapkan kerjasama warga pendidik untuk lebih proaktif dan telus menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat sebarang permasalahan disiplin yang cenderung kepada berlakunya jenayah dan penyalahgunaan dadah", tegas beliau lagi.
Dalam mesyuarat yang sama, turut diadakan sesi pembentangan dan perbincangan daripada wakil-wakil jabatan PDRM yang turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.
Terdahulu, telah diadakan majlis makan malam bersama warga KPM bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua agensi.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, barisan Ketua Polis dan Timbalan Ketua Polis Negeri, Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak, CP Dato Mancha Ata, Timbalan PJP Sabah, DCP Datuk Shahurinain Jais, Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah, barisan pegawai kanan polis, Pengarah Bahagian KPM, AADK dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin


















