
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Tahap Pematuhan Penduduk Sempadan Makin Baik
Rantau Panjang, 23 November 2024 - Tahap pematuhan penduduk di sempadan semakin baik selepas arahan larangan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram dium...
Rantau Panjang, 23 November 2024 - Tahap pematuhan penduduk di sempadan semakin baik selepas arahan larangan merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram diumumkan oleh Polis Kelantan berkuat kuasa pada 1 Disember ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Dato' Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, berlaku pengurangan ketara terhadap jumlah orang ramai yang melalui pangkalan haram untuk ke sempadan selepas pemasangan beberapa papan tanda amaran.
Sebilangan kecil yang masih merentas sempadan adalah kerana faktor hubungan kekeluargaan di sebelah Thailand dan beranggapan pihak PGA belum membuat tangkapan sehingga tarikh berkuat kuasa.
"Anggota bertugas akan memeriksa dokumen pengenalan diri mana-mana individu yang melalui pangkalan haram, selain menasihati mereka supaya menggunakan jalan yang sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan.
“Setakat ini, ada penduduk yang menyokong tindakan kerajaan, namun tidak kurang juga yang kurang senang dengan kehadiran anggota PGA yang membuat kawalan ketat di pangkalan haram.
“Mereka yang bersikap kurang senang terhadap pasukan keselamatan ini terdiri daripada penyeludup dan mereka yang mempunyai saudara di sebelah Golok, selain anak yang berulang alik ke sekolah,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.