
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Syabu Rm7 8 Juta Ditinggalkan Dalam Mpv
Setiu, 25 Disember 2024 - Polis merampas 244 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM7.8 juta yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mew...
Setiu, 25 Disember 2024 - Polis merampas 244 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM7.8 juta yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di tepi sebuah kedai dekat Kampung Rahmat, Kilometer 62, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada pagi Ahad.
Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Mohd Khairi Khairudin berkata, Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu menjalankan operasi "snap check" di lokasi berkenaan sebelum kenderaan mewah itu berhenti secara mengejut lebih kurang 100 meter dari lokasi operasi dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, ketika polis trafik menghampiri kenderaan itu, seorang lelaki dipercayai warga tempatan keluar sebelum melarikan diri ke dalam kawasan kebun sawit kira-kira jam 9 pagi.
“Hasil pemeriksaan menjumpai enam guni berwarna putih setiap satu berisi 35 paket plastik berwarna perak/keemasan bertulis ‘Guan Yin Wang' dengan setiap paket berisi ketulan kristal dadah disyaki Syabu dengan anggaran berat 210kg,” katanya dalam kenyataan media di IPD Setiu, semalam.
Dato' Mohd Khairi berkata, selain itu satu guni berwarna putih lain pula berisi 30 paket plastik mengandungi dadah disyaki Syabu dengan berat anggaran 30kg.
“Manakala satu plastik berisi empat paket plastik pula mengandungi dadah disyaki Syabu dengan anggaran berat empat kilogram yang turut menggunakan bungkusan sama,” katanya.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan berjumlah 244kg yang boleh digunakan 1.2 juta orang dengan nilai keseluruhan RM7.8 juta.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti di lampiran.
