
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Ramai Tak Serik Terima Tawaran Kerja Di Luar Negara
Terpengaruh dengan tawaran menarik, termasuk dijanjikan gaji lumayan menyebabkan ada rakyat negara ini tidak serik untuk menerima tawaran bekerja di luar negar...
Kuching, 2 Mac 2024 - Terpengaruh dengan tawaran menarik, termasuk dijanjikan gaji lumayan menyebabkan ada rakyat negara ini tidak serik untuk menerima tawaran bekerja di luar negara meskipun mereka pernah terkandas selepas ditipu.
Timbalan Pengarah (Siasatan / Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Dato’ Rusdi Mohd Isa ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan 16 individu yang pernah menjadi mangsa penipuan pekerjaan, terkandas semula di luar negara.
Beliau berkata, kurang kesedaran serta mudah mempercayai janji menarik menyebabkan mereka sanggup mengambil risiko menerima tawaran sedemikian di beberapa negara.
“Kita mengenal pasti 16 individu terbabit pernah kita selamatkan dan dibawa balik ke Malaysia.
“Bagaimanapun, mereka kembali ke luar negara dan kini sekali lagi menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mancha Ata, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Dato’ Rusdi berkata, 16 individu terbabit dikenal pasti kini terkandas di Dubai, Thailand, Amerika Syarikat, Kemboja, Singapura, Vietnam, Australia dan Filipina.