
Article
Keratan Akhbar Pilihan Polis Filipina Gempur Pusat Panggilan Sindiket Penipuan
Semua suspek yang ditahan termasuk warga Malaysia adalah pekerja pusat panggilan berkenaan yang dipercayai dikendalikan oleh rakyat Malaysia dan China.
Kuala Lumpur, 5 November 2024 - Polis Filipina menahan 300 individu selepas menyerbu sebuah pusat panggilan yang beroperasi di sebuah pelabuhan bebas di Luzon Tengah, Filipina pada Khamis lalu.
Semua suspek yang ditahan termasuk warga Malaysia adalah pekerja pusat panggilan berkenaan yang dipercayai dikendalikan oleh rakyat Malaysia dan China.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya masih menunggu laporan serbuan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Presiden Anti Jenayah Terancang (PAOCC).
“Bukit Aman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina susulan serbuan ke atas pelabuhan bebas ini yang didakwa dikendalikan oleh warga Malaysia dan kita akan bertukar-tukar maklumat sekiranya ada keperluan.
“Kami memuji usaha mereka dalam memerangi dan menumpaskan pusat penipuan berkenaan dan ia pasti memberi tamparan terutamanya kepada aktiviti penipuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.