
Article
Keratan Akhbar Pilihan Pga Kelantan Guna Dron Kawal Sempadan
Kota Bharu, 20 September 2023 - Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 144 kilometer di negeri ini termasuk me...
Kota Bharu, 20 September 2023 - Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 144 kilometer di negeri ini termasuk menggunakan dron bagi mengekang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Sheik Azahar Sheik Omar berkata, seramai 400 anggota termasuk pegawai ditugaskan di sepanjang Sungai Golok dari Batu Melintang, Jeli sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Kita tingkatkan operasi bagi mengawal kemasukan PATI dari Myanmar, Bangladesh dan sebagainya termasuk warganegara Pakistan.
“Mengikut maklumat, PATI dari negara terbabit dan juga warga Pakistan yang mempunyai pasport (sah memilih) masuk melalui Sungai Golok menerusi pangkalan haram dan lorong tikus.
“Justeru, kita memperketatkan kawalan untuk mengekang kemasukan mereka. Selain itu, kawalan juga untuk memastikan tiada kes penyeludupan kontraban termasuk di musim tengkujuh yang akan datang,” katanya.
Beliau ditemui di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa, di sini, semalam.