
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Obk Nilai Rampasan Cecah Rm31 2 Juta
Kota Bharu, 30 April 2025 - Pasukan Gerakan Am - (PGA) menyerbu lapan kilang kayu di empat daerah di Kelantan dan merampas pelbagai barangan membabitkan nilai...
Kota Bharu, 30 April 2025 - Pasukan Gerakan Am - (PGA) menyerbu lapan kilang kayu di empat daerah di Kelantan dan merampas pelbagai barangan membabitkan nilai keseluruhan rampasan RM31.2 juta, pagi kelmarin.
Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Cawangan Risik Briged Tenggara Batalion 7, 8 dan 9 itu turut disertai Jabatan Perhutanan Kelantan dijalankan di Pasir Mas, Jeli, Tumpat dan Tanah Merah.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Dato' Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil serbuan berkenaan, seramai 31 individu termasuk 11 warga asing ditahan berusia antara 18 hingga 67 tahun.
Katanya, selain warga asing, tangkapan itu turut membabitkan pemilik kilang kayu berkenaan.
“Semua serbuan dilakukan serentak bermula 10 pagi. Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan terhadap kesemua kilang kayu itu mendapati beberapa kesalahan yang dilakukan termasuk ada 1 kilang yang tidak berlesen.
“Susulan serbuan berkenaan, kita merampas pelbagai saiz kayu, jentera berat, alat pemotong dan pemproses kayu membabitkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM31.2 juta,” katanya ketika dihubungi.