
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Kes Pemerdagangan Manusia Terbesar Di Wang Burma
Padang Besar, 6 Februari 2024 - Semuanya bermula apabila penduduk Wang Kelian kerap melihat kehadiran orang luar yang mencurigakan sebelum terbongkarnya kegiat...
Padang Besar, 6 Februari 2024 - Semuanya bermula apabila penduduk Wang Kelian kerap melihat kehadiran orang luar yang mencurigakan sebelum terbongkarnya kegiatan sindiket pemerdagangan manusia terbesar pada 2015.
Penduduk kampung yang membuat laporan polis ketika itu, tidak menyangka kawasan berbukit Wang Burma menyimpan rahsia jadi lokasi sindiket pemerdagangan manusia membabitkan etnik Rohingya.
Selepas sembilan tahun peristiwa hitam itu, wartawan menjejak kembali kawasan itu bersama Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim, semalam bagi meninjau bekas kem tahanan dan kubur digunakan sindiket.
Pendakian dua jam itu turut disertai timbalannya, SAC Baderulhisham Baharudin, para anggota 69 Komando, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
Tinjauan di lokasi mendapati, keadaan bukit itu jauh berbeza berbanding dahulu, apabila banyak laluan ke tapak bekas kem tahanan dan kubur hampir ditutupi pokok dan semak samun.
Bermula jam 8.30 pagi, wartawan terpaksa mendaki 1.25 kilometer sebelum tiba ke “base camp” yang dibina anggota PGA.
Dari “base camp” untuk ke bekas tapak kem tahanan mengambil masa kira-kira 10 minit dan masih terdapat kesan seperti kawat duri yang rebah dan berkarat di lokasi itu.
Selain itu, terdapat satu lubang yang dalam ditemui berhampiran kawat duri berkarat itu dipercayai jadi tempat menyimpan makanan oleh anggota sindiket.
Ini adalah satu daripada lebih 20 bekas kem yang dimusnahkan anggota keselamatan bagi mengelak terus dijadikan lokasi pemerdagangan manusia berikutan jaraknya ke batu sempadan Malaysia-Thailand cuma 350 meter.