
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Empat Sindiket Edar Dadah Tumpas
Shah Alam, 19 Mei 2026 - Polis menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas bunga Ganja dan Syabu seberat 251.8 kilogram (kg) bernilai RM17.8 ju...
Shah Alam, 19 Mei 2026 - Polis menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan merampas bunga Ganja dan Syabu seberat 251.8 kilogram (kg) bernilai RM17.8 juta hasil operasi di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Ampang.
Ketua Polis Selangor, CP Dato' Pahlawan Shazeli Dato' Kahar berkata, dalam operasi berasingan pada 6, 9 dan 10 Mei lalu, polis menahan enam warga asing termasuk tiga wanita, berusia antara 17 sehingga 31 tahun.
Beliau berkata, semua suspek disyaki terbabit dengan sindiket berasingan itu, secara keseluruhannya membawa 254 bungkus bunga Ganja 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi.
"Dalam kes pertama pada 6 Mei lalu, Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan tiga bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di terminal KLIA dan susulan itu, polis KLIA menahan suspek lelaki bersama dua wanita warga asing di terminal itu.
"Pemeriksaan mendapati 66 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga Ganja dengan anggaran 72.6kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM5.8 juta.
"Bagi serbuan kedua pada 9 Mei, empat bagasi mencurigakan dikesan melalui mesin imbasan bagasi terminal KLIA dan susulan itu, polis menahan seorang lelaki dan wanita warga asing di lokasi sama.
"Pemeriksaan ke atas empat bagasi berkenaan, polis menjumpai 136 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga Ganja dengan anggaran 72.8kg dengan nilai rampasan sekitar RM5.85 juta," katanya di sini, semalam.