
Keratan Akhbar Pilihan Bongkar Taktik Sindiket Seludup Mercun
Kuala Lumpur, 7 April 2024 - Tiga modus operandi digunakan sindiket penyeludupan mercun berjaya dihidu polis. Helah pertama dengan cara penyeludupan menggunakan pengangkutan sah atau kargo dan palsu isytihar sebagai barangan lain dan keduanya penyeludup menyorok mercun di dalam kontena dengan dicampur barangan lain.
Modus ketiga pula adalah menggunakan laluan tidak diwartakan sama ada sempadan laluan laut atau darat.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Mohd Kamarudin Md Din berkata, polis percaya sindiket tempatan ini mempunyai rangkaian dengan sindiket luar negara.
Menurut beliau, aktiviti haram ini juga mempunyai cara pengedaran yang serupa dengan penyeludupan kontraban atau barang subsidi iaitu melibatkan peranan seperti penjaga stor, transporter dan tonto.
“Namun, berdasarkan tangkapan yang dibuat, suspek tidak terlibat secara langsung dengan sindiket penyeludupan lain kerana polis percaya “market” (pasaran) masing-masing adalah berlainan, mereka bukan orang yang sama.
“Bagaimanapun, siasatan tetap dijalankan untuk kenal pasti dalang sama ada berkait dengan individu berprofil tinggi mahupun berselindung di sebalik perniagaan yang sah,” kata Dato’ Sri Mohd Kamarudin secara eksklusif kepada Sinar Ahad.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.