
Kejohanan Olahraga Maksak 2019 Pdrm Dinobat Sebagai Naib Johan
Cheras, 22 Disember 2019 - Pasukan Olahraga Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul sebagai Naib Johan dalam Kejohanan Olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2019 yang berlangsung di Stadium Mini Bukit Jalil, di sini, petang tadi.
PDRM dengan kekuatan 77 atlet berjaya meraih 13 pingat emas, 16 perak dan 16 gangsa dalam kejohanan yang bermula 20 Disember lalu.
Ketinggalan hanya 145 mata keseluruhan, PDRM terpaksa akur dengan semangat johan yang ditonjolkan oleh Pasukan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia yang memperoleh 849 mata. Manakala di tempat ketiga, dimenangi oleh Pasukan Kuala Lumpur yang memperoleh 451 mata.
Turut membanggakan lagi, atlet olahraga wanita PDRM, Koperal Sokongan Nor Amelia Musa dinobatkan sebagai Olahragawati MAKSAK 2019 selepas berjaya merangkul emas dalam acara 5,000 dan 10,000 meter serta pingat perak dalam acara 1,500 meter.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Haji Bakar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi merangkap Pengurus Pasukan Olahraga PDRM, Superintendan Rudy Abdullah dan Penolong Setiausaha Majlis Sukan PDRM, ASP Norhastina Rahayu Hashim.
Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada Pasukan Olahraga PDRM atas semangat juang tinggi yang telah ditonjolkan dalam kejohanan edisi 2019 ini.