
Artikel
Kejohanan Kuda Lasak Terbuka Piala Kpn 2025 Tan Sri Razarudin Juarai Acara Cen 40km
Setiu, 23 Februari 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain muncul juara selepas berjaya menamatkan acara Contor Endurance National (CEN) s...
Setiu, 23 Februari 2025 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain muncul juara selepas berjaya menamatkan acara Contor Endurance National (CEN) sejauh 40 kilometer (km) dalam Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala KPN 2025, bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, di sini.
Beliau yang menunggang kuda kegemarannya iaitu Majic Octang telah memulakan perlumbaan kira-kira jam 6.45 pagi kelmarin dan berjaya melepasi beberapa kriteria pemarkahan serta cabaran laluan dengan catatan masa 2 jam 30 minit 30 saat, sekali gus menduduki tempat pertama bagi keseluruhan 111 peserta yang mengambil bahagian.
Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Muhamad Zakaria Ismail dari Mya Cottage End Team dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), SAC Rosli Md Yusof dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut berkenan mencemar duli mengambil bahagian dalam acara sama pada kejohanan kali ini.
Sementara itu, pelepasan bagi tiga acara lain iaitu CEN 80km, Contor Endurance International (CEI) 100km dan CEI 120km yang berlangsung pagi semalam telah disempurnakan oleh Tan Sri Razarudin sambil diiringi Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid.
Majlis turut diserikan dengan gimik persembahan aksi payung terjun oleh tujuh penerjun dari 69 Komando.
Kejohanan Kuda Lasak Piala KPN yang berlangsung dari 21 sehingga 23 Februari 2025 itu merupakan anjuran bersama Unit Berkuda PSP PDRM dengan kerjasama Royal Terengganu Endurance Stable. Ia merupakan acara tahunan sukan ekuestrian dan sentiasa mendapat penyertaan yang memberangsangkan dari pelbagai kelab kuda seluruh negara.
Pada kejohanan kali ini, sebanyak lapan kategori telah dipertandingkan iaitu VIP Ride 15km, CEN 40km, CEN 80km, CEI 100km, CEI (Youth) (Junior) 100km, CEI 120km, Contor International Mineur 120km, Musical Chair Ride dan Barrel Race.
Sebelum tirai kejohanan ditutup secara rasmi pagi tadi, Tan Sri Razarudin telah mengiringi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi menyampaikan hadiah berupa wang tunai dan piala iringan serta sijil penyertaan kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan.
Sekalung ucapan tahniah buat Tan Sri Razarudin dan semua atlet kuda lasak PDRM atas kejayaan menerusi kejohanan kali ini. Teruskan melakar kecemerlangan di masa akan datang.
Hadir sama, Pengerusi Pesatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Nara Setia Dato’ Hj. Zulkifli Ali, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Dato' Ts. Azizee Ismail, Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohd Rodhi, Ketua Polis Terengganu, DCP Dato' Mohd Khairi Khairudin, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Hj. Mohd Azmi Mohamad Daham, Ahli-ahli PERKEP negeri dan wakil media.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Bryan Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri