
Artikel
Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Pdrm Dbkl Berjaya Tarik Lebih 10 Ribu Pengunjung
Cheras, 27 April 2024 - Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik Den...
Cheras, 27 April 2024 - Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik Dengan Komuniti Setempat Tahun 2024 yang diadakan di Pekarangan Blok 3B, Perumahan Awam Sri Sabah, di sini berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Program diterajui Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) itu bertujuan menyantuni masyarakat melalui pendekatan proaktif dan bersepadu bagi mencegah jenayah, selain mendidik serta membudayakan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan awam.
Turut mengambil bahagian ialah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Malaysia Crime Prevention Foundation, Jabatan Kerja Raya, Telekom Malaysia dan TNB Careline.
Atur cara karnival telah bermula seawal jam 5.30 pagi dengan pengisian kerohanian melalui slot "Solat Jemaah Subuh Macam Jumaat" di Surau Tarbiah dan penyampaian sumbangan bantuan sebagai tanda keprihatinan PDRM terhadap kesejahteraan masyarakat kepada surau, pusat tahfiz dan anak-anak yatim.
Perjalanan karnival tambah meriah dengan kehadiran kedua-dua pucuk pimpinan Pasukan iaitu Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman dan Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin.
Kehadiran mereka disambut Pengarah JPJKK, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP JPJKK, Datin Sarihah Jusoh.
Seterusnya, ketibaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama isteri, Datin Seri Norhayati Musa kira-kira jam 11.25 pagi turut disambut mesra barisan pimpinan Pasukan dan masyarakat setempat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman.
Dalam ucapan aluannya, Tan Sri Razarudin menyatakan penganjuran karnival itu merupakan bukti kebersamaan PDRM dengan masyarakat.
Tambah beliau, kepercayaan dan jalinan kerjasama bersepadu segenap lapisan masyarakat menerusi perkongsian serta penyaluran maklumat kegiatan jenayah amat diperlukan.
"Saya dengan penuh yakin dan percaya, pengukuhan kerjasama semua pihak akan dapat meningkatkan kesejahteraan komuniti secara total," jelasnya lagi.
Kemuncak karnival menyaksikan perasmian oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan diiringi Tan Sri Razarudin Husain bersama Datuk Wan Hassan.
Datuk Seri Saifuddin Nasution turut berbesar hati menyampaikan sumbangan wang tunai kepada lima mangsa insiden kebakaran unit yang berlaku pada 11 Februari lalu di perumahan berkenaan, selain penyerahan bakul makanan untuk para penerima yang ditaja Yayasan Food Bank Malaysia. Turut menyampaikan sumbangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Encik Johan Halid.
Pengisian karnival diteruskan dengan gimik penyerahan dan pelepasan Obor Cakna Pencegahan Jenayah oleh Datuk Seri Saifuddin kepada pelari-pelari PDRM sebagai simbolik program larian "Community Safety Run" sempena sambutan Hari Polis ke-217 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai nanti di Dataran Putrajaya.
Obor tersebut akan dibawa ke seluruh kontinjen bagi menyemarakkan lagi program-program pencegahan jenayah di peringkat setempat nanti.
Antara tarikan lain di tapak karnival ialah ruang-ruang pameran yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan dalam PDRM, termasuk kaunter pembayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta pemeriksaan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.
Sementara itu, pihak Perodua yang juga penaja utama Karnival Pencegahan Jenayah, berbesar hati menaja hadiah utama berupa sebuah kereta Ativa
kepada bakal peserta bertuah yang menyertai Community Safety Run nanti.
Antara tarikan lain di tapak karnival ialah ruang-ruang pameran yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan dalam PDRM, termasuk kaunter pembayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta pemeriksaan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.
Ternyata, tawaran pengurangan saman trafik sebanyak 50% oleh JSPT tidak dilepaskan oleh para pengunjung yang sanggup menunggu lama bagi menyelesaikan saman tertunggak mereka.
Terdahulu, turut berlangsung Sesi Townhall bertajuk "Program Cakna Pencegahan Jenayah Ke Arah Komuniti MADANI" yang menampilkan beberapa figura hebat sebagai ahli panel iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato' Sri Ramli Mohamed Yoosuf, Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Geshina Ayu Mat Saat serta Pakar Perubatan Kecemasan dan Pengurusan Trauma Selayang Hospital, Profesor Datuk Dr. Hj. Mohamed Alwi Hj. Abdul Rahman bersama Saudara Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator perbincangan.
Selain itu, jelas terpancar semangat kerukunan dan muhibah antara polis dengan masyarakat setempat melalui aktiviti 'rewang' serta gotong-royang dalam menyediakan juadah makanan dan membersihkan kawasan perumahan awam tersebut.
Bukan hanya persembahan dan demonstrasi khas oleh Pancaragam PDRM, Badan Kebudayaan Muzium PDRM, Pasukan T-Baton Wanita Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Unit K9 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pasukan sahabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, karnival yang berlangsung hingga jam 6 petang tadi begitu meriah dengan pelbagai aktiviti untuk setiap peringkat umur, termasuk pertandingan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak, acara sukan serta sukaneka dan cabutan bertuah.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat korporat, para pegawai kedutaan asing dan pengamal media.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri