
Artikel
Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman Dirai Meriah
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meraikan malam kemuncak Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Buk...
Kuala Lumpur, 27 Oktober 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meraikan malam kemuncak Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman, di sini.
Dalam ucapan perasmian penutup, Tan Sri Razarudin berkata, inisiatif jawatankuasa masjid menganjurkan karnival sebegini harus diberikan pujian. Usaha itu bukan sahaja dapat mengimarahkan masjid, bahkan memberi peluang kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ahli kariah untuk mengeratkan lagi jalinan ukhuwah.
"Persepsi masyarakat pada hari ini yang menganggap masjid hanya sebagai tempat beribadah dan pusat untuk mengadakan kelas-kelas pengajian agama sahaja harus dimurnikan agar seluruh masyarakat memahami peri pentingnya peranan sebuah masjid dalam membangunkan ummah," kata beliau.
Cakna dengan keadaan global, PDRM menyokong penuh pendirian Kerajaan agar Israel menghentikan kekejaman yang dilakukan terhadap warga Palestin dan mempertahankan hak serta kebebesan Palestin.
Justeru itu, Tabung Kecemasan Solidariti Palestin Masjid Bukit Aman bersama MyFundAction telah dilancarkan bermula pada hari ini sehingga 5 November 2023, sebagai inisiatif tanda keprihatinan serta semangat kemanusiaan warga Pasukan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Tabung tersebut bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada saudara di Palestin. Orang ramai yang tidak berkesempatan menyalurkan sumbangan secara fizikal, sumbangan boleh dilakukan secara atas talian iaitu dengan melayari laman sesawang MyFundAction untuk makluman lanjut.
Dalam majlis sama, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik PDRM yang menjayakan karnival tersebut.
Karnival yang telah berlangsung selama dua hari itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh warga Pasukan dan masyarakat sekitar.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman, CP Dato' Sri Azri Ahmad dan isteri Datin Sri Norliah Othman, barisan Pengarah Jabatan PDRM dan isteri, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), JIPS Bukit Aman merangkap Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Afandi Senin dan isteri Puan Siti Zainab Awani Abdul Razak serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyFundAction, Encik Mohd Hanif Nasaruddin.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri