Kanak Kanak Tidak Timbul Selepas Menyelam Dijumpai Lemas
Daro, Sarawak, 20 Julai- Seorang kanak-kanak yang gagal timbul selepas menyelam ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Bawang, Matu dekat sini petang semalam ditemui mati lemas.
Kegagalan mangsa Mohamad Asmawi Kadir, 10, untuk timbul menyebabkan rakannya memaklumkan kepada penduduk kampung yang kemudian melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Daro, DSP Wagner Lisa berkata, operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan polis, Jabatan Pertahanan Awam, Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung dilancarkan sebaik menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.30 petang.
Operasi dilancarkan sehingga waktu malam tetapi gagal menemui mangsa.
"Mayat mangsa hanya ditemui pada pukul 8.15 pagi ini kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan terus dihantar ke Hospital Daro untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, penduduk kampung mengesahkan mangsa pandai berenang.
Jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.- BERNAMA