Jangan Terpedaya Dengan Sms Kad Kredit
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan tidak mudah percaya dengan taktik baharu yang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung penggunaan kad kredit.
Timbalan Pengarah JSJK (Siber dan Multimedia), SAC Mohd Kamarudin Md. Din berkata, kebanyakan mangsa yang panik setelah mendapat dan membaca SMS tersebut terus menghubungi nombor yang dibekalkan di dalam SMS itu sebelum mengalami kerugian ribuan ringgit.
Taktik baharu sindiket ini biasanya menggunakan nombor seperti 22633 yang kononnya memaparkan tanda tiada caj perkhidmatan 'RM0.00' selain dibekalkan nombor bank yang palsu.
JSJK menasihatkan orang ramai yang menerima SMS sebegitu agar tidak mudah terpedaya malah jangan sesekali menghubungi nombor yang dibekalkan dalam mana-mana SMS malah hubungilah nombor bank yang dibekalkan di belakang kad kredit masing-masing.
Sumber: Utusan Malaysia