
Jalankan Amanah Dengan Baik Pastikan Kekal Relevan Di Mata Masyarakat Pemangku Timbalan Kpn
"JALANKAN AMANAH DENGAN BAIK, PASTIKAN KEKAL RELEVAN DI MATA MASYARAKAT" - PEMANGKU TIMBALAN KPN
Kuala Lumpur, 6 April 2019 – Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador meletakkan harapan yang tinggi kepada 392 Kadet Inspektor yang telah berjaya dan bakal menamatkan latihan pada hari ini dan 25 Mei nanti, agar menjalankan tugas dengan baik dan berintegriti selepas ditetapkan tempat bertugas kelak.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Upacara Perbarisan dan Penyampaian Sijil Tamat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Siri 2/2018 dan Kadet Inspektor Siri 3/2018 yang berlangsung di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi.
Tambah Dato’ Seri Abdul Hamid, kredibiliti pegawai dan anggota polis sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Ia pasti merupakan cabaran kepada para pegawai muda ini untuk melaksanakan tugas dengan penuh berdedikasi serta memastikan institusi keramat ini kekal relevan di mata masyarakat dan negara.
“Tugas ini juga merupakan amanah yang telah disandarkan di bahu kita, dan akan dihisab di akhirat kelak,” tegas beliau yang turut mengingatkan supaya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memberikan perkhidmatan yang cekap dan mesra kepada masyarakat berlandaskan undang-undang sedia ada.
Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua penerima Anugerah Peserta Terbaik bagi akademik, latihan luar dan keseluruhan.
Dalam majlis penuh istiadat kepolisan itu, Inspektor Ruzanna Khairion yang merupakan anak jati negeri Sabah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan PLAK Inspektor bagi Siri 2/2018, diikuti Inspektor Syaiful Anuar Md Zaki sebagai Pelatih Terbaik Akademik manakala Inspektor Badrol Hisham Nordin sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.
Manakala, Pelatih Terbaik Keseluruhan PLAK Inspektor bagi Siri 3/2018 pula, disandang oleh Inspektor Siti Aiyah Rosmin diikuti Inspektor Ain Zurain Rahim sebagai Pelatih Terbaik Akademik manakala Inspektor Khairul Husni Mohd Kasim @ Rejab dan Inspektor Siti Farrah Nadzirah Awaludin terpilih sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar, masing-masing bagi kategori lelaki serta wanita.
Hadir sama menyaksikan majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato’ Nerita Yaacob, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Dato’ Shamsudin Mat, para pegawai kanan PDRM dan rakan-rakan media.
Ketibaan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.
Ketibaan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.
Ketibaan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato’ Nerita Yaacob.
Ketibaan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Dato’ Shamsudin Mat.
Bendera Sang Saka Biru diarak masuk ke medan perbarisan.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador diringi Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Dato’ Shamsudin Mat memeriksa baris.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan ucaptama.
Sekitar Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Siri 2/2018 dan Kadet Inspektor Siri 3/2018.
Lafaz ikrar Taat Setia dan Laungan "Sedia Berkhidmat".
Barisan penerima-penerima sijil.
Sesi penyampaian cenderahati.