Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Isu Tular Suspek Bakar Bilal Telah Ditahan

Diterbitkan: 19 Feb 2020 10.06 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.32 AM
Tidak sampai enam jam, lelaki yang dipercayai membakar bilal ditahan polis berhampiran lokasi kejadian di hadapan Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat, Mergong hari ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/isu-tular-suspek-bakar-bilal-telah-ditahan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:42 MYT

Alor Setar, 19 Februari 2020 - Tidak sampai enam jam, lelaki yang dipercayai membakar bilal ditahan polis berhampiran lokasi kejadian di hadapan Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat, Mergong hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, berkata suspek dipercayai bertindak sendirian ketika melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan dia ditahan jam 1.30 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati dia mengaku melakukan perbuatan itu (membakar mangsa) dan suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mengalami masalah mental.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

ACP Mohd Rozi berkata, suspek juga dipercayai terbabit melakukan perbuatan khianat membakar peralatan masjid di Tok Keling, Alor Mengkudu tahun lalu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek mendakwa tidak suka dengan jemaah masjid kerana pernah memohon untuk mendapatkan bantuan tetapi ditolak.

“Disebabkan itu suspek dikatakan benci dengan jemaah masjid selain masalah mental dan dadah yang dialaminya.

“Tidak timbul isu perkauman dalam kes ini dan mangsa bukanlah sasaran suspek, namun disebabkan kemarahan suspek terhadap jemaah masjid, bilal itu menjadi mangsa,” katanya.

ACP Mohd Rozi berkata, setakat ini mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) disebabkan melecur 25 peratus di muka, belakang, tangan dan kaki mangsa.

Katanya, pihaknya turut menemui bukti pakaian mangsa yang terbakar dan motosikal yang digunakan suspek berdasarkan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

“Kita akan mendapatkan tempoh tahanan reman terhadap suspek esok untuk membantu siasatan.

“Kita percaya suspek menggunakan petrol berdasarkan penemuan di lokasi kejadian,” katanya.

ACP Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian kira kira jam 6 pagi tadi, mangsa, Amri Budin, 65, cedera parah apabila melecur beberapa bahagian badan akibat dibakar selepas disimbah minyak oleh individu tidak dikenali.

Amri melecur teruk di muka, tangan, dan badan sebelah kiri.

Sumber: RMP TV Channel dan Berita Harian Online

https://www.youtube.com/watch?v=b3oHqdvecfo&feature=youtu.be&fbclid=IwAR2Qqwu3g7TQHUBPZPgSezo5H4vd_64UBsD_6mCjX2Sf7a-d9epmA-MLriY


ArtikelDiterbitkan 19 Feb 2020 10.06 AMDikemas kini 17 Jul 2026 3.32 AM