
Artikel
Integriti Disiplin Dan Penyeliaan Berkesan Jadi Fokus Amanat Timbalan Kpn
Kuala Lumpur, 9 September 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyampaikan amanat kepada barisan ke...
Kuala Lumpur, 9 September 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyampaikan amanat kepada barisan kepimpinan, staf dan peserta kursus Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, di sini.
Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa integriti adalah tonggak utama perkhidmatan polis, sekali gus mengingatkan bahawa tiada sebarang tolak ansur terhadap pegawai atau anggota yang terbabit dengan sindiket atau kegiatan jenayah.
Menurut beliau lagi, kelemahan aspek penyeliaan sering kali menjadi punca berlakunya masalah disiplin dan salah laku dalam pasukan yang akhirnya menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. Justeru, penyelia di semua peringkat diseru agar lebih proaktif dalam memantau dan membimbing pegawai serta anggota di bawah seliaan masing-masing.
“Landskap jenayah yang semakin kompleks serta pengaruh media sosial yang meluas perlu ditangani melalui tindak balas yang tangkas daripada pasukan penguat kuasa. Amalan sambil lewa, berlapang dada dan suka mengambil jalan mudah perlu dikikis, khususnya dalam pengurusan kertas siasatan, demi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan,” tegas beliau.
Seramai 119 peserta kursus menghadiri sesi amanat tersebut yang terdiri daripada peserta Kursus Pegawai Penyiasat Trafik Siri 2/2025, Kursus Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Siri 2/2025, Kursus Penyiasatan Balistik dan Penggunaan Senjata Api Siri 1/2025 serta Kursus Professional Interaction Communication Skills Siri 2/2025.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DCP Datuk Marzuki Mohd Mokhtar dan Komandan Maktab PDRM, DCP Dr. Che Ghazalie Che Awang.