
Article
Ifg 2025 Bola Sepak Pdrm Kekal Dominasi Kejuaraan
Pasukan bola sepak di bawah pimpinan Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri muncul juara apabila berjaya...
Kuantan, 31 Oktober 2025 – Pasukan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya mengekalkan dominasi kejuaraan dengan menewaskan pasukan Singapore Police Force (SPF) dalam perlawanan akhir edisi ke-60 Interforce Games (IFG) yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini, petang semalam.
Pasukan bola sepak di bawah pimpinan Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri muncul juara apabila berjaya menewaskan pasukan SPF dengan pungutan mata 1-0. Benteng pertahanan lawan berjaya ditembusi dengan jaringan gol yang dilakukan oleh SAC Nasri Mansor pada minit ke 54.
Lebih bermakna lagi apabila perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang hadir memberikan sokongan kepada para pemain.
Seusai perlawanan, Tan Sri Ayob Khan bersama Deputy Commissioner Police (Policy) SPF, DCP How Kwang Hwee menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebagai penutup acara sukan semalam.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, barisan ketua polis negeri, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Kamaruzaman Abdullah, barisan pegawai kanan PDRM dan delegasi SPF.
Terdahulu, pada sebelah pagi semalam telah berlangsung empat acara sukan yang lain iaitu badminton, golf, futsal wanita dan bola jaring. Dalam beberapa sukan yang dipertandingkan itu, PDRM berjaya menggondol emas bagi badminton, futsal wanita dan golf.
Sementara itu, kemuncak acara pada kejohanan IGF25 ini akan dimeriahkan dengan majlis makan malam yang diadakan di Hotel Zenith, Kuantan sebagai simbolik penghargaan kepada semua para atlet, pengelola pasukan serta delegasi sepanjang kejohanan berlangsung.
Jurugambar: PDRM RMP TV