
Artikel
Hari Polis Ke 217 Program Menembak Berlangsung Meriah Di Briged Tengah
Cheras, 2 November 2024 - Program Menembak Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 berlangsung meriah dengan penglibatan hampir 170 penyertaan di Lapan...
Cheras, 2 November 2024 - Program Menembak Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 berlangsung meriah dengan penglibatan hampir 170 penyertaan di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini pagi tadi.
Acara tahunan dalam takwim Pasukan itu dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zulkifli Abidin dengan diiringi Timbalan Pengarah (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, DCP Dato' Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi yang mewakili Pucuk Pimpinan Pasukan.
Program tadi lebih bermakna dengan adanya penglibatan Pasukan rakan sahabat daripada Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kewangan dan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Malaysia (RESPA).
Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman, CP Dato’ Ts. Ramdzan Daud.
Program pagi tadi dimulakan dengan sesi bergambar beramai-ramai di antara para tetamu dan peserta yang mengambil bahagian sebelum disusuli dengan gimik menembak tepat oleh Dato' Mohamad Suzrin sendiri.
Para peserta yang mengambil bahagian pada tahun ini kemudiannya telah diberi taklimat keselamatan sebelum ke acara menembak oleh Pegawai Turus Persenjataan Teknikal Ornans, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, DSP Wan Zullizzi Wan Muda.
Sebanyak dua acara dipertandingkan pada kali ini, iaitu acara “centre fire” dan “falling plate” dengan melibatkan lima kumpulan yang dibahagikan di antara semua peserta yang mengambil bahagian bagi memupuk semangat kerja berpasukan.
Program melabuhkan tirainya tadi dengan acara penyampaian hadiah kepada semua peserta yang mengambil bahagian yang disempurnakan oleh Dato' Mohamad Suzrin dengan diiringi Timbalan Pengarah (Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, SAC Shamsul Amar Ramli.
Yang turut hadir, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Mayda Datuk Sabri Zali, Naib Presiden RESPA, Dato' Salamuddin Hj. Falizan, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), DCP Datuk Mazli Mazlan dan Timbalan Komander (Operasi) Unit Tindakhas, ACP Hisham Mahmood.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan dan L/KPL Hafizah Hassan Sabery