
Artikel
Hari Polis Ke 217 Pdrm Anjur Program Derma Darah
Kuala Lumpur, 11 Jun 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menganjurkan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-217, di Dewan Theatrette, Ibu...
Kuala Lumpur, 11 Jun 2024 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menganjurkan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-217, di Dewan Theatrette, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.
Program anjuran Jabatan Siasatan Jenayah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Dennis Lim yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain berkata, program tersebut membuktikan kolaborasi strategik antara PDRM dan Pusat Darah Negara (PDN) dalam menterjemahkan khidmat sosial demi kepentingan masyarakat.
"Saya menggalakkan warga Pasukan tidak hanya tertumpu menderma darah sewaktu kempen sahaja, tetapi lapangkanlah waktu hadir ke PDN untuk menderma darah kerana setiap titisan darah yang didermakan dapat menyelamatkan nyawa," katanya.
Dalam program tersebut, Datuk Dennis Lim yang diiringi Timbalan Pengarah I PDN, Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah turut berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada tiga penderma darah aktif PDRM iaitu DSP Ta Kah Loon dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Sub Inspektor Merzuki Shahrim dari JSJ Bukit Aman dan Encik Mohd Khairul Nizam Mohd Mokhtar dari Cawangan Khas Bukit Aman.
Turut hadir, warga kerja Bukit Aman, barisan Pelatih Kadet Inspektor Siri 1/2024, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, para pegawai PDN serta rakan media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini.









