Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Hari Polis Ke 217 Larian Community Safety Run Tahun 2024 Rekod Penyertaan 10 Ribu Peserta

Diterbitkan: 06 Jul 2024 9.59 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.33 AM
Putrajaya, 6 Julai 2024 - Program Larian Hari Polis Community Safety Run Tahun 2024 berlangsung meriah dengan rekod penyertaan melibatkan 10,000 rakyat Malaysia termasuk warga Pasukan dari seluruh negara, bermula jam 6 pagi tadi, di Dataran Putrajaya, di sini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/hari-polis-ke-217-larian-community-safety-run-tahun-2024-rekod-penyertaan-10-ribu-peserta
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 12:42 MYT
Putrajaya, 6 Julai 2024 - Program Larian Hari Polis Community Safety Run Tahun 2024 berlangsung meriah dengan rekod penyertaan melibatkan 10,000 rakyat Malaysia termasuk warga Pasukan dari seluruh negara, bermula jam 6 pagi tadi, di Dataran Putrajaya, di sini.

Program larian sempena sambutan Hari Polis ke-217 itu merupakan program larian berskala besar kali kedua anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas Program Night Run yang diadakan pada tahun 2018, bertujuan menjalinkan kerjasama strategik antara PDRM bersama pelbagai pihak dan masyarakat dalam usaha mengekalkan keharmonian serta keamanan negara, seiring dengan tema "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".

Atur cara program bermula seawal jam 6 pagi dengan pengisian kerohanian melalui slot "Solat Subuh Berjemaah Macam Jumaat" dan Tazkirah Subuh yang disampaikan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Al Fadhil Ustaz Nor Azamir Hj. Alias bertajuk, "Menjadi Manusia Yang Baik" di masjid berkenaan.

Tepat jam 7.30 pagi, para peserta memulakan larian sejauh tujuh kilometer di mana acara "flag off" telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh Tseow Suan dengan diiringi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti PDRM (JPJKK), CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Dato' TPr. Fadlun Mak Ujud, Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad serta Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran, Astro Malaysia Holdings Berhad, Encik Tam Kam Leong.

Turut sama menyertai larian tadi ialah Ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis PERKEP Malaysia yang diketuai pengerusinya, Puan Sri Zainah Othman.

Tan Sri Razarudin bersama barisan kepimpinan PDRM telah meluangkan masa melawat reruai yang disediakan dan berkesempatan menyantuni masyarakat yang hadir dalam program tersebut.

Program bertambah meriah dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disambut mesra Tan Sri Razarudin bersama barisan kepimpinan Pasukan di Dataran Putrajaya pagi tadi.

Selain menantikan pengumuman 217 hadiah cabutan bertuah, para peserta larian turut disajikan dengan persembahan daripada Pasukan Senoi Praaq, Pancaragam PDRM dan aksi penuh berani serta tangkas daripada 25 anggota Unit Tindakhas (UTK) yang mempersembahkan demonstrasi khas peranan operatif "Rapid Assault Team" dalam menangani ancaman pelbagai.

Demontrasi itu diketuai oleh Penolong Komander (Operasi) UTK, Superintendan Mohamad Khairani Khalid.

Kemuncak program menyaksikan gimik perasmian menyalakan api Obor Cakna Pencegahan Jenayah yang disempurnakan Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan diiringi Tan Sri Razarudin di hadapan bangunan Istana Kehakiman, selain tayangan montaj Larian Obor yang telah dibawa ke seluruh kontinjen di Semenanjung Malaysia untuk dipertontonkan di hadapan mereka yang hadir.

Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada PDRM kerana berjaya menerajui program bersama masyarakat ini sekali gus mengeratkan serta memperkukuhkan lagi hubungan polis dengan masyarakat dalam pencegahan jenayah.

"Masyarakat juga adalah sebagai penghubung atau bantu menyebar luaskan program serta aktiviti PDRM terutamanya dalam cakna pencegahan jenayah untuk keharmonian masyarakat serta keamanan negara," tambah beliau.

Seterusnya, Dataran Putrajaya digamatkan lagi dengan deruan enjin Konvoi Cakna Pencegahan Jenayah melintasi pentas utama yang melibatkan 20 motosikal klasik dan 20 buah kereta klasik serta 40 buah kereta sport dari Kelab SuperCarGang.

Antara tarikan lain di tapak program ialah 46 ruang pameran yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, 20 buah "food truck" serta pembukaan kaunter pembayaran saman trafik oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM yang menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% yang menjadi tumpuan utama para pengunjung.

Program melabuhkan tirainya selepas pengumuman hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Ativa yang dimenangi oleh pemilik nombor bib A03744, Encik Mohd Shazwan dari Seri Kembangan.

PDRM menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pemenang bertuah dan penghargaan kepada para penaja termasuk Perodua, Fly AirAsia, Batik Air Malaysia, Malindo Airways dan Astro Malaysia Holdings Berhad dalam menjayakan Larian Hari Polis Community Safety Run untuk kali ini.
Keseluruhan program pagi tadi turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi PDRM dan Facebook Rasmi JPJKK.

Hadir sama, barisan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN), barisan Pengarah PDRM, pegawai-pegawai kanan dari pelbagai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat korporat serta para pengamal media.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Muhammad Iqtar Azmi, Koperal Muhammad Izqhar Zainal Ibidin, Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.

May be an image of 4 people, crowd and text

May be an image of 8 people, crowd and text

May be an image of 7 people and text

May be an image of 3 people, crowd and text

May be an image of 7 people and text


ArtikelDiterbitkan 06 Jul 2024 9.59 AMDikemas kini 17 Jul 2026 3.33 AM