
Artikel
Hari Polis Ke 217 Komuniti Agama Kristian Pdrm Anjur Sembahyang Khas Di Gereja Full Gospel Assembly
Petaling Jaya, 5 April 2024 – Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217, komuniti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang beragama Kristian telah menganjur...
Petaling Jaya, 5 April 2024 – Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217, komuniti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang beragama Kristian telah menganjurkan Upacara Sembahyang Khas Agama Kristian bertempat di Gereja Full Gospel Assembly, Jalan Kuchai Lama, di sini.
Program yang saban tahun diadakan tatkala menjelang sambutan peringatan Hari Polis telah dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur selain turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Puan Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Seputeh, Puan Teresa Kok.
Selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara penganut agama Kristian dalam Pasukan dengan masyarakat setempat, program itu juga menekankan nilai-nilai kerohanian dan kesejahteraan dalam setiap peringkat pegawai serta anggota PDRM.
Program tersebut telah disertai hampir 150 warga Pasukan lain-lain pangkat termasuk para pesara dan tidak ketinggalan juga masyarakat setempat yang beragama Kristian menyertai majlis keagamaan tersebut.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset), JLog Bukit Aman, SAC Low Kim Piew, bekas Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, pesara DCP Dato’ Tan Chong Jin dan bekas Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, pesara SAC Dato’ Chong Mun Phing.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin