Hari Polis Ke 211 Hospital Putrajaya Terima Kunjungan Delegasi Pdrm
HARI POLIS KE-211: HOSPITAL PUTRAJAYA TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI PDRM
Putrajaya, 4 Oktober 2018 - Sebagai memperkukuhkan jalinan kerjasama di antara dua agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah berbesar hati mengadakan program lawatan ke Hospital Putrajaya yang diketuai oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun bersempena peringatan Hari Polis ke-211 yang disambut 25 Mac lalu.
Lawatan tersebut merupakan acara tahunan yang telah termaktub dalam takwim PDRM bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pihak polis dengan kakitangan hospital dan para pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan terpilih.
Tan Sri Mohamad Fuzi yang diiringi timbalannya, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim bersama isteri Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad merangkap Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia telah meluangkan masa hampir satu jam untuk melawat dan bertanya khabar kepada para pesakit disamping menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Tan Sri Mohamad Fuzi berharap agar program kebajikan seumpama ini akan dapat diperbanyakkan di masa-masa akan datang supaya hubungan warga PDRM dengan orang awam dapat didekatkan lagi seiring dengan tema Hari Polis itu sendiri; "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".
Beliau turut mengambil kesempatan tadi untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja Hospital Putrajaya yang sentiasa komited dan gigih dalam menjaga kesejahteraan rakyat di negara ini.
Orang ramai yang hadir turut tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan pucuk pimpinan dan warga PDRM yang hadir tadi disamping mendapatkan informasi terkini berkaitan jenayah semasa menerusi ruang pameran yang dibuka khas di lobi hospital berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Asri Yusoff, Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Dr. Zainudin Abdul Wahab Hanafi dan Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Nora’i Mohd. Said dan rakan-rakan media.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan ucapan.
Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Nora’i Mohd. Said menyampaikan ucapan.
Bergambar kenangan.
Gimik perasmian.
Sesi penyampaian sumbangan.
Sekitar sesi lawatan hospital.