
Artikel
Hari Polis 217 Pdrm Anjur Special Dialogue Ii 2024
Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024 - Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-217, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menganj...
Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024 - Bersempena Sambutan Hari Polis Ke-217, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menganjurkan 'PDRM Special Dialogue II 2024' yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini, semalam.
Program kolaborasi dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dan Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS) itu adalah kesinambungan daripada penganjuran 'PDRM Special Dialogue 2024' yang pertama pada 11 Mac lalu, di mana kali ini memfokuskan berkaitan jenayah narkotik.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam majlis yang sama, PDRM dan Universiti Malaya (UM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Ayob Khan dengan Naib Canselor (UM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman. MoU tersebut merupakan kolaborasi strategik bagi peningkatan akademik warga PDRM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang undang-undang.
Tertib majlis diteruskan dengan acara menandatangangi MoU di antara PDRM dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang disempurnakan bersama naib canselornya, Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman. MoU tersebut merupakan persefahaman bagi pembangunan tahap profesionalisme sumber manusia selari dengan pelan strategik PDRM dalam meningkatkan tadbir urus organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Dalam majlis yang sama, para tetamu turut dipersembahkan dengan montaj khas berkisar aspirasi, kepentingan dan harapan bagi penganjuran 'PDRM Special Dialogue II 2024', sebelum dibawa melawat reruai pameran yang mengambil bahagian.
Terdahulu di sebelah pagi, telah berlangsungnya sesi dialog yang membincangkan kupasan tajuk 'Evolution of The Drug Situation in Malaysia' dengan mengetengahkan tiga panel hebat iaitu Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, DCP Datuk Zainuddin Ahmad, Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN Bukit Aman, DCP Mohd Zani Che Din dan Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), JSJN Bukit Aman, SAC Mohd Rozi Jidin. Manakala, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Siasatan), JSJN Bukit Aman, SAC Mazleen Mohd Nasir bertindak sebagai moderator.
Hadir sama, Timbalan KSU (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Pengerusi AIS, Tan Sri Dato' Seri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, barisan Pengarah PDRM, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, KPDRM, Dato’ Nerita Yaacob, para pegawai kanan PDRM serta rakan-rakan media.