
Article
Hari Malaysia 2022 Kpn Hadir Memeriahkan Sambutan Di Melaka
Melaka, 17 September 2022 - Sambutan #HariMalaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibanjiri tetam...
Melaka, 17 September 2022 - Sambutan #HariMalaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dibanjiri tetamu berpakaian kebangsaan dan etnik tradisional #KeluargaMalaysia era 50-an serta 60-an di Bandar Hilir, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Razali Abu Samah yang segak berbaju Melayu lengkap, turut tidak melepaskan peluang hadir memeriahkan sambutan yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.
Turut menyaksikan acara ialah Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia, Dr. Hj. Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Hjh. Asmah Abdul Rahman, Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob bersama isteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin serta barisan menteri kabinet.
Kemuncak acara menyaksikan upacara menandatangani Buku Watikah Hari Malaysia sebagai simbolik penyatuan tanah Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Pengunjung yang hadir, disajikan pelbagai persembahan menarik antaranya kisah perjuangan menuntut pengisytiharan kemerdekaan dan sejarah pembentukan Malaysia.
Selain itu, turut dipersembahkan adalah suka duka pejuang pahlawan bangsa seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Datu Mat Salleh, Rentap dan tokoh-tokoh tanahair lain yang bermati-matian menentang penjajah demi kemakmuran dan keharmonian yang kita kecapi hari ini.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin