Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

HARI KEBANGSAAN 2026: DETASEMEN PDRM PERKEMAS RENTAK MENJELANG PENTAS HARI KEBANGSAAN (26082026)

Diterbitkan: 26 Aug 2026 7.37 AM Dikemas kini: 26 Aug 2026 8.04 AM
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2026 – Persiapan detasemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadapi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 terus diperkemas menerusi Raptai Skeleton Perbarisan dan Perarakan Kontinjen PDRM yang berlangsung di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/hari-kebangsaan-2026-detasmen-pdrm-perkemas-rentak-menjelang-pentas-hari-kebangsaan-26082026
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 20:31 MYT
 
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2026 – Persiapan detasemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadapi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 terus diperkemas menerusi Raptai Skeleton Perbarisan dan Perarakan Kontinjen PDRM yang berlangsung di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Raptai berkenaan menjadi medan penting bagi memastikan setiap detasemen berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik sebelum tampil dalam perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang bakal berlangsung pada 31 Ogos ini di Putrajaya.

Tumpuan diberikan kepada aspek penyelarasan pergerakan, kekemasan formasi, disiplin serta keseragaman setiap detasemen. Pada masa sama, raptai turut membolehkan sebarang aspek teknikal dan pergerakan dikenal pasti serta ditambah baik bagi memastikan keseluruhan penampilan kontinjen PDRM dapat dilaksanakan dengan kemas, teratur dan penuh disiplin.

Seramai 595 pegawai, anggota serta aset PDRM bakal terlibat dalam perbarisan dan perarakan tahun ini menerusi sembilan detasemen, merangkumi pancaragam, pakaian kerja, pesara polis, pakaian operasi, aset kenderaan serta haiwan.

Komitmen dan latihan berterusan yang dilaksanakan mencerminkan kesungguhan PDRM dalam memastikan setiap detasemen bersedia memberikan persembahan terbaik pada acara kemuncak sambutan, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara sempena Hari Kebangsaan 2026.

Hadir menyaksikan raptai ialah Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Faisal Yahya, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Noor Ariffin Mohamad Nasir, KPP Pengurusan (Hal Ehwal Pesara Polis) Bukit Aman, SAC Alina Saad dan Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Bukit Aman, ACP Harlina Masnan.

Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Lans Koperal Bryan Mustin.









ArtikelDiterbitkan 26 Aug 2026 7.37 AMDikemas kini 26 Aug 2026 8.04 AM