
Artikel
Hari Inovasi Kdn 2025 Kumpulan Artificial Intelligence Dari Briged Sarawak Pga Muncul Juara
Putrajaya, 23 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul juara dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2025, sekali g...
Putrajaya, 23 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul juara dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2025, sekali gus mengharumkan nama Pasukan sebagai organisasi yang progresif, kreatif dan berdaya cipta tinggi dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan awam.
Pasukan PDRM yang mengambil bahagian diwakili oleh kumpulan Artificial Intelligence dari Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya merangkul gelaran Johan yang mengetengahkan projek Dr. Ghaz Sensor diikuti kumpulan Perlis Marshall dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis yang merangkul tempat ketiga dengan ciptaan mereka iaitu Smart B'-Halangan Sekatan Jalan Raya.
Bertemakan “Inovasi MADANI: Ihsan, Integriti dan Profesionalisme" kali ini menjadi mekanisme penting untuk memupuk budaya kreatif dan inovatif warga KDN, dengan penyertaan lima agensi utama termasuk PDRM, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Bahagian Perancangan Strategik KDN.
Tidak ketinggalan juga penyertaan daripada kumpulan Vortech dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dengan projek Smart E-Buku Lawatan-Aplikasi Rondaan Qualitatif (ARQ) dan kumpulan M-INO 25 dari Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan projek Integrated Training Management System, tampil dengan idea inovatif yang mampu memberi nilai tambah terhadap kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan diringi Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di Dewan Gemilang, Setia Perkasa 1, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya hari ini.
Penganjuran pertandingan berkenaan turut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi amalan terbaik serta mempelajari pendekatan baharu dalam mengurus cabaran organisasi secara lebih kreatif dan strategik. Selain, KDN terus komited melahirkan warga kerja yang berfikiran maju, inovatif dan berintegriti tinggi selaras dengan matlamat kementerian untuk menjadi organisasi peneraju dalam penyampaian perkhidmatan yang cemerlang, berkesan dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Terdahulu, telah berlangsung perhimpunan bulanan KDN anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pemakaian lencana dan pisau serta beret kehormat Laskar Merah Saga, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) kepada Datuk Seri Saifuddin oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hj. Rosli Abdullah.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman, barisan Timbalan KSU KDN, barisan ketua agensi di bawah KDN dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.




