
Article
Eratkan Sinergi Persahabatan Pdrm Bersama Kerajaan Negeri Berlatih Menembak Di Lapang Sasar Ipk Melaka
Melaka, 14 Disember 2024 - Bersempena Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung dari 13 Disember sehingga esok, lati...
Melaka, 14 Disember 2024 - Bersempena Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung dari 13 Disember sehingga esok, latihan menembak yang disertai barisan kepimpinan Pasukan dengan Kerajaan Negeri Melaka telah diadakan di Lapang Sasar, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini pagi tadi.
Ketibaan rombongan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kira-kira jam 8.30 pagi tadi telah diiringi oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi ke lapang sasar sebelum disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Datuk Zainah Othman.
Menerusi latihan menembak muhibbah tadi, sebanyak 18 kumpulan telah dibahagikan yang masing-masing 10 kumpulan lelaki dan lapan kumpulan wanita untuk menyertai dua kategori acara iaitu “center fire” serta “falling plate” kumpulan.
Datuk Seri Utama Ab Rauf dan Tan Sri Razarudin digandingkan dalam kumpulan ‘Hang Tuah’ yang turut dibarisi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Azhar Hj. Arshad, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Datuk Wira Yasin serta Dato’ Sri Mohd Shuhaily.
Manakala isteri ketua menteri selaku Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz mengetuai kumpulan ‘Sri Kandi Melur’ dan Puan Sri Datuk Zainah pula dalam kumpulan ‘Tun Teja’ yang turut dibarisi oleh ahli BISTARI Kerajaan Negeri Melaka bersama PERKEP Malaysia.
Sebelum tirai latihan dimulakan tadi, hadirin telah dipertontonkan dengan aksi terjunan tepat daripada lima “para troopers” 69 Komando yang diketuai sendiri oleh timbalan komandernya, ACP Rosman Kasman sebelum menyerahkan senjata jenis Carbain M4 kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf sebagai gimik perasmian latihan.
Kemuncak acara tadi menyaksikan keputusan akhir bagi acara “falling plate” kumpulan lelaki telah dimenangi oleh kumpulan ‘Hang Tuah’, manakala kategori kumpulan menembak wanita pula dimenangi oleh kumpulan ‘Dang Anum’.
Acara penyampaian hadiah bagi acara “center fire” kumpulan, hanya akan diumumkan dalam majlis penutup esok di Villa D'Acqua dekat Masjid Tanah.
Yang turut hadir tadi ialah Setiausaha Polis Malaysia, SAC Dato' Kamaruzaman Abdullah, Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Datuk Md Nazri Zawawi, barisan Pegawai Kanan Pejabat Kerajaan Negeri Melaka dan PDRM, ahli-ahli PERKEP Malaysia serta BISTARI Kerajaan Melaka.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Konstabel Muhammad Azri Sabri





