Dua Lelaki Ditahan Ketika Cuba Pecah Masuk Kilang Besi
Shah Alam, 22 Julai - Dua lelaki ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah kilang besi di Jalan Kebun di sini petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kilang berkenaan yang melihat dua individu yang menaiki sebuah lori cuba memecah masuk menerusi pintu belakang kilangnya.
"Susulan itu, sepasukan anggota peronda telah dikerah ke kilang berkenaan dan ketika dihampiri kedua-dua suspek itu cuba melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shafien berkata, kedua-dua lelaki berumur 30 dan 40 tahun itu kemudian berjaya ditahan dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan dadah.
Turut dirampas sebuah lori tiga tan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kedua-dua suspek direman selama tiga hari. - BERNAMA