
Terima kasih Puan Fida Osman kerana sudi berkongsi gambar lama bapa beliau, Allahyarham Sarjan (B) Osman Ngah Ismail yang pernah berkhidmat selama 35 tahun dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Puan Fida, bapanya memulakan tugas sebagai pengiring keselamatan kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur sejurus selesai menjalani latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada tahun 1957.
Tiga tahun kemudian, Sarjan (B) Osman ditugaskan di Bahagian Kompaun Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang sebelum menjadi pengiring keselamatan kepada Sultan Kedah pada tahun 1962.
Beliau juga pernah menjalankan tugas mengiring menteri sebelum dinaikkan ke pangkat Sarjan dan menjadi Penolong Pegawai Penyiasat di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, Kuala Lumpur sehingga tamat perkhidmatan pada 19 Ogos 1992.
Sarjan (B) Osman mempunyai tiga anak perempuan, hasil perkahwinan dengan Sarjan (B) Fatimah Abdul Hamid.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 15 Oktober 2009 akibat sakit jantung. Semoga roh Allahyarham Sarjan (B) Osman Ngah sentiasa dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin.