
Artikel
Demonstrasi Laut Ungerin Curi Tumpuan Hut Ppm Ke 78
Klang, 3 Oktober 2025 – Aksi dramatik demonstrasi menumpaskan penjenayah di laut oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN), Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kerjasama P...
Klang, 3 Oktober 2025 – Aksi dramatik demonstrasi menumpaskan penjenayah di laut oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN), Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) mencuri tumpuan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Marin ke-78 yang berlangsung di Jeti PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, pagi tadi.
Demonstrasi berkenaan mempamerkan keberanian serta kecekapan pasukan elit UNGERIN dalam menumpaskan sekumpulan penjenayah bersenjata yang cuba melarikan diri melalui jalan laut. Operasi tersebut menggabungkan taktik Visit, Board, Search and Seizure (VBSS) ke atas kapal induk, aksi Close Quarter Battle (CQB) dalam tempur jarak dekat serta sokongan helikopter AS355N milik PGU yang melakukan pemantauan udara. Hasil koordinasi kemas antara elemen laut dan udara, kesemua suspek berjaya ditumpaskan dan barang curi ditemukan semula.
Berucap dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Azmi Abu Kassim, yang mewakili Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, merakamkan penghargaan atas komitmen serta dedikasi PPM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Sejak awal penubuhannya, PPM terus menunjukkan ketekunan dan profesionalisme tinggi dalam melindungi perairan negara daripada pelbagai ancaman. Dari 1 Januari hingga 30 September 2025 sahaja, PPM telah berjaya menumpaskan 7,136 kes dengan nilai rampasan mencecah RM491.1 juta, melibatkan penyeludupan barang kawalan, dadah, hidupan liar dan mercun, jenayah pemerdagangan orang, aktiviti pembalakan haram serta pencerobohan migran,” katanya.
Majlis sambutan turut diserikan dengan persembahan pembukaan maneuvering bot ronda PPM, yang mempamerkan kecekapan jurumudi serta kemampuan aset maritim PDRM menerusi pelbagai formasi seperti “Figure of Eight”, “L-Formation”, “T-Formation”, “Crossing Formation” dan “Emergency Stop/360°”.
Terdahulu, sambutan dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama oleh Dato’ Sri Azmi, diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Nurul Azhar Abd Hamid dibantu Penolong Pegawai Pemerintah Baris, ASP Redzuan Mohidin, melibatkan seramai 102 pegawai dan anggota termasuk pembawa Panji-panji PPM, Inspektor Saravana Dinesh Murugaih.
Dalam majlis sama turut berlangsung penyampaian Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada Timbalan Komander PPM Bukit Aman dan Komander-Komander Wilayah, sebagai wakil kepada 32 penerima dari seluruh wilayah marin Kontinjen PDRM.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jabatan KDNKA, Datin Sri Sharifah Rodziah Syed Agil, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP Kontinjen Selangor, Datin Rozana Kasbon, Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi), Jabatan KDNKA, CP Dato’ Fisol Salleh, Komander PPM, SAC Shamsol Kassim bersama isteri merangkap Pengerusi PERKEP PPM, Puan Marzuin Shuib, barisan komander Jabatan KDNKA, ahli-ahli PERKEP, pesara PPM serta rakan-rakan media.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.