
Deklarasi Kerjasama Strategik Pdrm Apmm Perkukuh Benteng Pertahanan Perairan Negara
Pelabuhan Klang, 5 Mac 2020 - Kesepakatan yang terbentuk menerusi gabungan sumber manusia, keupayaan aset dan kepakaran dalam menguatkuasakan undang-undang menjadi tunjang utama kepada kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Atas faktor itu, satu majlis menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik antara kedua-dua agensi telah berlangsung di Dewan Komuniti Markas Operasi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, di sini, pagi tadi.
“PDRM menerusi PPM yang telah wujud sejak 72 tahun lalu merupakan unit ‘pakar’ di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang berperanan penting dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, aktiviti rompakan di laut dan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi serta pendapatan negara,” ucap Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dalam majlis tersebut.
Jelas beliau, dengan mempunyai 39 buah markas, 262 buah bot ronda pelbagai kelas dan kekuatan seramai 2,445 pegawai polis serta pegawai awam, PPM telah membuktikan kemampuannya untuk kekal relevan sebagai satu entiti penguat kuasa maritim yang amat membanggakan PDRM.
“Justeru, dengan termeterainya kerjasama strategik antara PDRM dan APMM, maka perkongsian maklumat, kepakaran, aset, latihan dan modal insan serta operasi bersama, diyakini dapat memperkukuhkan lagi benteng pertahanan perairan negara,” tambah Tan Sri Abdul Hamid.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama tersebut mampu menghasilkan momentum yang jitu dan dapat diperkuatkan lagi dengan hubungan bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa dalam menangani permasalahan maritim serantau.
Majlis turut diserikan dengan persembahan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM PDRM dan Special Tactical and Rescue (STAR) APMM.
Antara tetamu yang hadir dalam majlis tadi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato' Mohd Zubil Mat Som, Pengarah KDNKA, CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Mohd Zakaria Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato’ Ramli Haji Din, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Noor Azam Jamaluddin, Komander Pasukan Polis Marin, SAC Tuan Mohd Yusoff Mamat, para pegawai kanan PDRM dan APMM serta rakan media.
Saksikan rakaman demonstrasi menyelamat tebusan oleh UNGERIN, PPM dan STAR, APMM pada pautan berikut, https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/videos/1097521220598893/?vh=e&d
Sekitar Majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik PDRM dan APMM sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.
Sesi bergambar kenangan.
Sesi bergambar kenangan.
Gimik penyerahan deklarasi kerjasama strategik antara PDRM dan APMM.
Gimik penyerahan deklarasi kerjasama strategik antara PDRM dan APMM.
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan ucapan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan menyampaikan ucapan.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Dato' Mohd Zubil Mat Som menyampaikan ucapan.
Sekitar persembahan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM PDRM dan Special Tactical and Rescue (STAR) APMM.
Sekitar taklimat pengoperasian di bilik mesyuarat 'Automatic Identification System (AIS)', Jabatan Laut Malaysia, Pelabuhan Klang.