
Dato Surina Wanita Pertama Teraju Kontinjen Perlis
Kangar, 3 September 2019 - Bekas Ketua Penolong Pengarah E5, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Dato’ Surina Saad dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Perlis baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau melakar sejarah sebagai pegawai polis wanita pertama diberi kepercayaan menerajui Kontinjen Perlis bagi menggantikan SAC Dato’ Noor Mushar Haji Mohd. yang akan menjalani persaraan wajib esok.
Majlis serah terima tugas di antara dua figura itu telah diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis hari ini dengan disaksikan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, CP Dato’ Mohamed Farid Abu Hassan.
Lebih bermakna lagi, Dato’ Surina turut dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Perlis dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung di tempat sama.
Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Datin Nor Aslinda Azmi yang merupakan isteri kepada Dato’ Noor Mushar dengan disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Cawangan Khas Bukit Aman merangkap Ketua Komunikasi Korporat PDRM, SAC Dato’ Asmawati Ahmad.