
Dato Sri Acryl Sani Sempurnakan Perasmian Ipd Sepang
Sepang, 15 September 2021 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hari ini berbesar hati merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor yang berlangsung di dataran padang kawad, di sini.
Majlis perasmian yang dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Dato' Sri Acryl Sani turut diserikan dengan persembahan daripada Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kompleks IPD Sepang yang mula beroperasi sejak 5 Mei 2004 tersebut telah dibina di atas tanah berkeluasan 38.919 hektar di Mukim Labu, Sepang, Selangor dan meliputi prasarana seperti bangunan pentadbiran, dewan serbaguna, surau, kuarters serta lain-lain.
Turut hadir, isteri KPN yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Ir. Zaitun Mohd Isa, Timbalan KPN, DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim bersama surinya merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Seri Hajah Anizah Musa, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Zaini Jass, barisan pengarah PDRM dan Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Arjunaidi Mohamed.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Konstabel Muhammad Khairul Hilmi Zaini