
Artikel
Cp Dato Mohd Azman Dilantik Pengarah Jspt Baharu
CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini secara rasminya telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang baharu dalam Ma...
Kuala Lumpur, 14 November 2023 - CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri hari ini secara rasminya telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang baharu dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSPT di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini.
Majlis pagi tadi dimulakan dengan acara pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) pengarah yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain kepada Dato’ Mohd Azman dan seterusnya serah terima tugas jawatan Pengarah JSPT di antara Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan/Kawalan Lalulintas/Pengurusan Saman) JSPT merangkap pemangku Pengarah JSPT, DCP Dato’ Mohd Nasri Omar dengan Dato’ Mohd Azman serta disusuli penyerahan dokumen rasmi bersama tongkat kuasa.
Dalam majlis yang sama turut berlangsung acara serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP JSPT di antara Datin Hamidah Hashim dengan suri hati Dato’ Mohd Azman iaitu Datin Nassariah Mohd Nassir yang sebelum ini merupakan Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak. Acara tersebut disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Zainah Othman.
Dato’ Mohd Azman merupakan anak jati kelahiran Hulu Perak, Perak mula menyertai Pasukan pada tahun 1986 dan telah memegang beberapa jawatan penting antaranya Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ Bukit Aman, Timbalan Pengarah (Forensik/Databank DNA/Perancangan Strategik) JSJ Bukit Aman serta Ketua Urus Setia KPN (Perundangan).
Terdahulu, Tan Sri Razarudin turut berbesar hati menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada lapan Pegawai Kanan PDRM sebagai pengiktirafan dan penghargaan Pasukan atas perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan mereka.
Hadir sama, Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin, barisan Pengarah PDRM dan para Pegawai Kanan PDRM serta rakan media.
Setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas Dato' Mohd Azman.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.























































