
Covid 19 Artikel Pilihan Dah Tahu Pkp Konvoi Pula
Jelebu, 29 Mac 2020 - Empat penunggang motosikal ditahan polis selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkonvoi dari Cheras, Kuala Lumpur ke Titi, di sini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Kamarul Rizal Jenal, berkata kesemua penunggang berusia antara 20 dan 30-an itu ditahan pada jam 9.30 pagi tadi di Jalan Besar Titi.
Katanya, polis sebelum itu menerima maklumat awam mengenai kehadiran penunggang motosikal berkenaan sebelum bertindak ke lokasi.
“Soal siasat mendapati kesemua suspek maklum mengenai PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu namun sengaja mahu menjalankan aktiviti konvoi bermotosikal.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu dan ujian air kencing mendapati negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Rizal berkata kesemua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 (1) Peraturan - Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Polis sentiasa memantau pergerakan orang ramai sehingga tamat PKP dan mereka yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Sumber: Berita Harian Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN