Bungkusan Mercun Bunga Api Dirampas Polis Marin
Muar, 13 Julai - Pelbagai jenis mercun dan bunga api berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah, di sini, petang semalam.
Menurut Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya telah membuat serbuan di sebuah rumah di Lorong Kebun Nangka, Jalan Bakariah, dekat sini.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni.
"Serbuan turut menjumpai beberapa kotak mercun yang ditutup dengan plastik dan disimpan di bahagian belakang rumah tersebut," katanya.
Rampasan dianggarkan bernilai RM8,775 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.