
Biru Dan Merah Kekal Imej Jersi Pdrm Fc
Kuala Lumpur, 3 Mac 2022 – Warna keramat, merah dan biru kekal menjadi pilihan jersi Pasukan Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) buat tahun ke-4 bagi mengharungi perlawanan bola sepak Liga Premier 2022 yang akan bermula pada 7 Mac depan.
Pelancaran jersi The Cops itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak PDRM, DIG Dato’ Razarudin Husain’ dengan diiringi Pengarah Pengurusan merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak PDRM, CP Dato’ Zaini Jass di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, petang tadi.
Bagi musim ini, seramai 14 pegawai pasukan dan 32 pemain dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM bersama pemain awam serta import telah terpilih bagi memperkuatkan lagi jentera pasukan dalam misi menjuarai perlawanan.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Razarudin menzahirkan penghargaan kepada barisan penaja iaitu TOP GLOVE Corporatian Bhd., redONE Network Sdn. Bhd., Oren Sports, Biolux Asia Sdn. Bhd., UNBOX Asia Sdn. Bhd., Hertz Car and Rental dan barisan pengurusan PDRM FC serta seluruh warga PDRM FC yang telah berganding bahu demi kecemerlangan sukan bola sepak PDRM.
Dato’ Razarudin turut bangga dengan kejayaan PDRM FC tahun ini di mana kelab tersebut berjaya menubuhkan Akademi Bola Sepak PDRM FC demi meneruskan kelangsungan bakat dan bintang bola sepak dalam kalangan anak-anak warga PDRM.
Dalam majlis sama, PDRM FC turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Pusat Autisme PDRM dalam membantu kelancaran proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak autisme di pusat tersebut.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato’ Azri Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim, ketua-ketua polis negeri, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Encik Mohd Firdaus Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif redONE Network Sdn. Bhd. merangkap Pengarah PDRM FC Sdn. Bhd., Encik Mohammed Farid Mohamad Yunus, para pegawai kanan PDRM, rakan-rakan penaja dan wakil-wakil media.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Lans Koperal Bryanlie Mustin