
Artikel
Biografi Timbalan Kpn Angkat Nilai Integriti Amanah Dan Kepimpinan Berprinsip
Kuala Lumpur, 24 Julai 2026 – Penerbitan biografi Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bukan sekadar merakam perjala...
Kuala Lumpur, 24 Julai 2026 – Penerbitan biografi Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bukan sekadar merakam perjalanan hidup dan kerjaya beliau, malah mengangkat nilai integriti, amanah serta kepimpinan berprinsip yang menjadi asas pembentukan seorang pemimpin berwibawa dan dihormati.
Sepanjang perkhidmatan beliau dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Ayob Khan dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas, berintegriti dan sentiasa menjunjung profesionalisme dalam melaksanakan amanah. Nilai-nilai tersebut turut menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh transformasi PDRM melalui pemerkasaan pendigitalan, inovasi serta tadbir urus yang baik ke arah organisasi kepolisan yang lebih pintar, moden, cekap dan berintegriti dalam menghadapi landskap jenayah yang semakin kompleks.
Biografi yang diterbitkan hasil kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Yayasan Generasi Malaysia itu mengisahkan perjalanan kehidupan serta kerjaya Tan Sri Ayob Khan, bermula daripada latar belakang kehidupan, pengalaman dalam perkhidmatan sehingga kejayaan yang ditempa sepanjang bergelar pegawai polis. Naskhah tersebut dihasilkan oleh Pengarah Pusat Penerbitan UPM yang juga Profesor di Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan.
Buku berkenaan telah diperkenankan pelancarannya oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Bukit Kiara, semalam.
Tan Sri Ayob Khan berharap penerbitan biografi tersebut dapat menjadi sumber inspirasi dan rujukan kepada seluruh warga PDRM, khususnya generasi pelapis pasukan, agar terus menghayati nilai integriti, disiplin, amanah dan kepimpinan berprinsip dalam melaksanakan tanggungjawab demi agama, bangsa serta negara.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Haji Abdul Halim Haji Abdul Rahman, Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Dato' Zalena Mohd Ariffin, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM serta Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.
Jurugambar: PDRM RMP TV