
Besmartstayalert Letsfightscammertogether Keratan Akhbar Pilihan Scam Alert Scammer Sasar Mangsa Berpendidikan
Kuala Lumpur, 23 Julai 2024 - Individu yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi mengalami insiden cubaan “scam” atau penipuan yang lebih banyak berbanding mereka yang hanya berpendidikan sekolah rendah atau menengah dan mereka yang berpendapatan bulanan RM1,000 atau kurang.
Menurut Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 yang disiarkan oleh CelcomDigi Bhd baru-baru ini, ia mendapati “trend” penipu atau “scammer” menyasarkan mangsa berpendidikan dan pendapatan tinggi.
Perbandingan merentasi pemboleh ubah demografi menunjukkan bahawa responden yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi mengalami insiden cubaan penipuan yang lebih banyak.
la juga mendapati, antara 10,893 responden yang dikaji di seluruh negara, seramai 87 peratus menjadi lebih peka kepada ancaman penipuan sejak setahun lalu, dan mereka boleh menjelaskan pengalaman secara terperinci serta menyatakan jenis penipuan yang mereka hadapi.
Responden juga menyedari bahawa pendedahan data peribadi boleh membahayakan diri mereka serta tindakan mengklik pautan yang tidak disahkan adalah berisiko.
Penipuan yang paling banyak atau umum adalah panggilan telefon 76 peratus, di mana penipu berpura-pura menjadi wakil atau pegawai dari bank, syarikat telekomunikasi atau jabatan kerajaan.
Senario cubaan penipuan ini membabitkan individu palsu dengan 31 peratus responden menyatakan penipu bertanya mengenai maklumat peribadi mereka, menakut-nakutkan responden bahawa akaun bank mereka mempunyai masalah dan mengugut responden untuk membuat sejumlah pembayaran 23 peratus dan menawarkan bantuan kerajaan serta bertanya mengenai maklumat peribadi atau perbankan mereka 23 peratus.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Harian Metro.