
Artikel
Besmartstayalert Letsfightscammertogether Keratan Akhbar Pilihan Scam Alert Masyarakat Perlu Peka Teknologi Ai
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kecanggihan dunia dalam talian in...
Petaling Jaya, 4 September 2023 - Masyarakat disaran agar lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan jenayah siber.
Kemajuan pesat bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan mempunyai keupayaan menggandakan aktiviti jenayah siber seperti penipuan.
Melaluinya, penjenayah siber bertindak lebih ke hadapan apabila boleh menggunakan rakaman video atau gambar palsu “deepface” berasaskan AI untuk membuat pemerasan dan panggilan palsu untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam kecanggihan dunia dalam talian ini, penjenayah boleh meniru rupa, suara, gelagat dan apa sahaja perbuatan untuk menipu.
Kata beliau, keadaan ini berkemungkinan menyebabkan lebih ramai lagi masyarakat menjadi mangsa penjenayah siber ini sekiranya mereka tidak bersedia dan beradaptasi untuk menghadapi perubahan teknologi ini.
“Dengan kepesatan ini, kita tidak lagi ketahui sama ada apa yang kita lihat (secara dalam talian) itu benar atau tidak.
“Jika ada penyebaran sesuatu video atau gambar, kita (polis) tidak lagi dapat bezakan yang mana palsu dan betul dan sudah pasti ia akan beri kesan kepada semua khususnya pemimpin masyarakat,'' katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Mengulas lanjut, kata Dato’ Sri Ramli, kepesatan teknologi AI ini juga membuka peluang kepada penjenayah siber melakukan klon suara untuk melakukan perbuatan jenayah.
“Sekarang, modus operandi yang digunakan sindiket penipuan mungkin mereka akan hubungi mangsa dengan menyamar sebagai pihak berkuasa atau sebagainya sehingga menyebabkan ramai tertipu dan jadi mangsa.
“Tidak lama lagi, dengan AI, penjenayah mungkin boleh melakukan pengklonan suara dengan menyamar sebagai kenalan atau keluarga kita, sehingga kita tidak dapat bezakan suara sebenar seseorang itu dan seterusnya menjadi mangsa penipuan,” jelasnya.