Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Belasungkawa Perginya Seorang Perwira Negara Sub Inspektor B Ngalinuh Bala Kilah Ratu S P

Diterbitkan: 25 Jun 2020 1.13 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 3.32 AM
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Sub Inspektor (Bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) yang telah meninggal dunia petang semalam akibat komplikasi paru-paru di Hospital Miri, Sarawak.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/belasungkawa-perginya-seorang-perwira-negara-sub-inspektor-b-ngalinuh-bala-kilah-ratu-s-p
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 22:52 MYT

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Sub Inspektor (Bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) yang telah meninggal dunia petang semalam akibat komplikasi paru-paru di Hospital Miri, Sarawak.

Mendiang merupakan penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) yang dikurniakan oleh Almarhum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-V, Al-Sultan Al-Mu’tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972. Darjah tertinggi kerajaan Malaysia ini dianugerahkan kepada mendiang sebagai penghormatan dan pengiktirafan di atas keberanian beliau menumpaskan pengganas komunis dalam satu insiden serang hendap oleh pihak musuh di Jalan Ulu Oya, Sibu, Sarawak pada 29 April 1972. Insiden bersejarah yang menjulang namanya sebagai wira negara tersebut berlaku semasa mendiang bertugas di Batalion 18 Pasukan Polis Hutan (PPH) yang ketika itu bertempat di Miri, Sarawak.

Anak jati Miri, mendiang Sub Inspektor (Bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) dilahirkan pada 1 Januari 1941 dan memasuki perkhidmatan PDRM pada 14 Januari 1961. Tugas terakhir beliau sebelum menjalani persaraan wajib pada 31 Disember 1995 ialah sebagai Sub Inspektor Kebajikan di Ibu Pejabat Daerah Polis Miri.

Pemergian mendiang bukan sahaja satu kehilangan kepada keluarganya, tetapi juga kehilangan besar kepada PDRM dan negara. Sesungguhnya, kita kehilangan seorang wira bersemangat waja yang berani mempertaruhkan nyawa sendiri, demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Semoga semangat mendiang Sub Inspektor (Bersara) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu (S.P) menjadi azimat untuk kita terus berjuang demi bangsa dan negara.

Sebagai penghormatan terakhir, jasad mendiang akan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negeri di Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB), Lambir, Miri pada petang 26 Jun 2020.

Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku.

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#24062020

ArtikelDiterbitkan 25 Jun 2020 1.13 AMDikemas kini 17 Jul 2026 3.32 AM