
Artikel Pilihan Sub Inspektor B Ngalinuh Bala Akan Dikebumikan Dengan Istiadat Pengebumian Negeri
Miri, 23 Jun 2020 - Jasad mendiang bekas Sub Inspektor Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu akan dikebumikan mengikut istiadat pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) di Lambir, pada petang Jumaat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato’ Aidi Ismail berkata penghormatan penuh terhadap mendiang itu akan diuruskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerajaan negeri Sarawak.
"Kehilangan ini bukan hanya kehilangan kepada keluarga mendiang tetapi juga kehilangan kepada negara khususnya pasukan polis.
"Kita kehilangan seorang pahlawan yang dikurniakan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) yang telah banyak berjasa kepada negara khususnya negeri Sarawak.
"Saya difahamkan upacara pengebumian akan diadakan pada Jumaat dan pihak polis akan memberikan penghormatan penuh kepada mendiang dan beliau layak diberikan taraf istiadat pengebumian negeri," katanya ketika ditemu bual pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang di Kampung Lusut Jalan Bario, Lambir di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Aidi berkata PDRM akan memenuhi permintaan keluarganya agar mendiang dikebumikan di Miri.
Dato’ Aidi turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador kepada keluarga mendiang di atas kehilangan tersebut.
Sumber: Utusan Borneo Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN