
Article
Artikel Pilihan Polis Rampas Sita Aset Mewah Rm93 2 Juta Milik Jasmine Hasil Penyelewengan 1mdb
Aset yang merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai s...
Kuala Lumpur, 4 September 2023 - Polis Diraja Malaysia menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang didaftarkan atas nama penasihat undang-undang firma pelaburan itu, Jasmine Loo Ai Swan.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua rampasan ini diperoleh hasil pendedahan Jasmine ketika memberikan keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
"Semua aset ini membabitkan pembelian hartanah dan barangan mewah di New York, London dan Singapura serta pelaburan di Amerika Syarikat yang semuanya didaftar atas nama Jasmine.
"Selain kediaman mewah ini, terdapat juga sembilan lukisan mewah termasuk dua daripadanya lukisan Pablo Picasso," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Dato' Sri Ayob berkata, dengan pendedahan dibuat Jasmine juga, polis melakukan pemeriksaan di satu unit kondominium di Bukit Damansara, di sini, dan menyita barangan berharga RM625,000.
"Sitaan itu membabitkan masing-masing seutas jam tangan jenama Richard Mille dan jam tangan Harry Winston, 13 beg tangan pelbagai jenama, seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen berkaitan.
"Semua aset yang dirampas kini berada dalam simpanan JSJK," katanya.
Sumber: Berita Harian Online