Article
Artikel Pilihan Pdrm Rancang Tubuh Tiga Batalion Baharu Perkasa Kawalan Sempadan Sabah Dan Sarawak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk mewujudkan tiga batalion baharu bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.
Kuala Lumpur, 29 November 2023 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk mewujudkan tiga batalion baharu bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Negara hari ini berkata, ia melibatkan dua batalion di Sabah dan satu di Sarawak.
“Selain itu, PDRM melalui PGA turut menjalankan operasi secara berterusan seperti Op Taring, Op Awas dan Op Batas,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Paul Igai mengenai langkah kerajaan sekiranya berhasrat mengembalikan semula Pasukan Pengakap Sempadan yang sangat terbilang semasa peristiwa konfrontasi dan ancaman Pasukan Komunis Kalimantan Utara dahulu.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar berkata, Rang Undang-Undang Pesara dan Bekas Polis dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun hadapan.
Beliau berkata ketika ini, pegawai undang-undang di Kementerian Dalam Negeri sedang membuat proses semakan dan satu sesi libat urus berkenaan rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada awal tahun hadapan sebelum dimajukan kepada Jemaah Menteri.
Sumber: BERNAMA